suria

Segerakan Baik Pulih Kerosakan Harta Benda Awam Akibat Bajir - Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan persekutuan diharap dapat memberi kelulusan segera supaya kerosakan harta benda awam yang dianggarkan bernilai RM302 juta akibat bencana banjir di Terengganu pada akhir tahun lepas dapat dibaiki segera.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah baginda difahamkan jumlah kerosakan harta benda awam seperti jambatan, jalan raya, klinik kesihatan dan balai raya itu telah dikemukakan kepada kerajaan persekutuan.

Baginda juga mahu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sentiasa berganding rapat dalam merangka pelan rancangan tebatan banjir di seluruh negeri dengan memberi keutamaan kepada daerah yang terjejas teruk dan menyediakan peruntukan yang cukup untuk pelaksanaannya.

"Beta percaya dengan adanya rancangan tebatan banjir, ia akan mengurangkan atau meminimumkan kesan kemusnahan akibat banjir kepada penduduk yang terjejas.

"Beta gembira projek saliran dan tebatan banjir Baruh Tok Jiring yang dijangka menelan belanja RM90 juta bakal dilaksana pada tahun ini," titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Wisma Darul Iman di sini, Isnin.

Selain itu, usaha dan keprihatinan kerajaan negeri dalam pengagihan bantuan banjir sebanyak RM10.9 juta yang diberi kepada 21,927 keluarga mangsa banjir amat bertepatan dan wajar dilaksanakan kerana ia dapat meringankan beban rakyat, titah baginda.

"Beta merasa bangga kerana standard prosedur operasi menyelamat mangsa banjir daerah Kemaman telah diiktiraf sebagai yang terbaik di Malaysia dan akan dijadikan contoh kepada semua negeri dalam menghadapi banjir.

"Beta juga melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menunjukkan komitmen tinggi dan bertungkus lumus dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir khususnya kepada anggota Dewan Undangan Negeri, pegawai-pegawai kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan, pertubuhan sukarela dan individu-individu yang terlibat," titah baginda.

Keberangkatan Sultan Mizan bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Di samping itu, titah baginda, penerapan nilai-nilai Islam dalam asas pembangunan, urus tadbir yang cekap serta pendekatan inklusif yang meraikan suara rakyat haruslah menjadi fokus utama dalam lapan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Baginda juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan menteri besar dan juga wakil-wakil rakyat yang terus menjalankan amanah serta tanggungjawab memenuhi kepercayaan rakyat dalam mentadbir negeri.

Baginda turut berpuas hati dengan perkembangan dalam aspek pendidikan, pelancongan, pertanian, kesihatan, perumahan, pembangunan infrastruktur sukan, penyelesaian kesesakan lalu lintas serta usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam mengeluarkan rakyat daripada lingkaran kemiskinan.

Baginda juga menghargai usaha kerajaan negeri dalam menyelesaikan pengagihan Rumah Mampu Milik (RMM) dan berharap sistem pembahagian rumah itu akan ditambah baik agar ia tidak mengambil masa yang terlalu lama.

Banjir, Sultan Mizan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain