Ramanan (tengah) bersama wakil dari platform e-hailing Halo, Foodpanda dan Grab pada perasmian Festival Mega iLINDUNGu.
MENCARI pekerjaan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar bukan sekadar soal sumber pendapatan, tetapi turut melibatkan aspek kestabilan kerjaya dan perlindungan diri.Begitu juga bagi pekerja gig yang bergantung kepada pendapatan harian, perlindungan keselamatan sosial amat penting sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka seperti kemalangan atau kehilangan keupayaan bekerja. Atas faktor itu, pelbagai inisiatif terus diperkenalkan bagi membantu masyarakat mendapatkan akses kepada pekerjaan dan perlindungan sosial.Terbaharu, sebanyak 2,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga RM12,000 menjadi antara tarikan utama Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall, Kota Damansara.Menteri Sumber Manusia, Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, menerusi MYFutureJobs, sebanyak 25 majikan menyertai festival itu dengan menawarkan kira-kira 2,000 kekosongan pekerjaan.Penyedia platform e-hailing turut menyumbang lebih RM1.5 juta bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja gig.Menurutnya, peluang pekerjaan yang ditawarkan melibatkan gaji antara RM2,000 hingga RM12,000 sekali gus memberi ruang kepada individu untuk mendapatkan pekerjaan."Fokus kita jelas, rakyat yang datang bukan sekadar mendapatkan maklumat, tetapi kita mahu mereka pulang dengan peluang pekerjaan, akses kepada perlindungan sosial dan penyelesaian yang boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka."Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan atau mahu meningkatkan kerjaya, rebut peluang ini, kita membawa majikan dan peluang pekerjaan terus kepada rakyat," katanya ketika merasmikan festival berkenaan.Selain peluang pekerjaan, sebanyak RM48,000 turut disalurkan menerusi LINDUNG Kasih Suri Rumah bagi memperluas manfaat perlindungan kepada 400 penerima dalam kalangan suri rumah.Dalam masa sama, penyedia platform e-hailing turut menyumbang lebih RM1.5 juta bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja gig.Ramanan (tengah) beramah mesra bersama pemandu e-hailing pada perasmian Festival Mega iLINDUNGu.Foodpanda menyumbang RM1 juta, Grab (RM500,000) manakala Halo (RM14,412.40) menjadikan keseluruhan sumbangan berjumlah RM1,514,412.40.Sumbangan berkenaan secara tidak langsung memberi manfaat kepada 500 pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing."Di sebalik setiap rider dan pemandu, ada keluarga yang bergantung kepada pendapatan mereka sebab itu perlindungan sosial bukan perkara diambil ringan."Ia adalah jaringan keselamatan yang amat penting apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka."Kerjasama seperti ini menunjukkan bahawa kerajaan dan industri boleh bergerak bersama untuk memastikan pekerja gig bukan sahaja mempunyai peluang mencari pendapatan, tetapi turut mempunyai perlindungan," katanya.Antara aktiviti menarik pada Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall, Kota Damansara.Dalam pada itu, Ramanan turut mengulas lanjut pencapaian Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) baru-baru ini.Beliau yang menerajui ISSA bagi penggal 2026 hingga 2028 sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam badan antarabangsa itu."Beliau bukan saja CEO PERKESO tapi juga merupakan presiden ISSA, dari 165 negara mereka pilih Malaysia dan beliau dipilih sebagai presiden mewakili 380 ahli lain."Jadi kadang-kadang bila kita sendiri tak nak ambil pandangan rakyat kita, sebenarnya ia sangat merugikan."Baru-baru ni kita ada kenalkan Skim LINDUNG 24 jam, dah bentang di dewan rakyat dan segalanya tapi ada pihak yang tidak gembira dengannya.Ramanan (tengah) menyalurkan sumbangan sebanyak RM48,000 menerusi LINDUNG Kasih Suri Rumah kepada 400 penerima."Daripada ia diwajibkan sampai kita buat tak wajib tapi sampai sekarang masih ada pencarum, ia penting untuk kita semua rakyat Malaysia," ujarnya pada sesi sidang media.Festival Mega iLINDUNGu yang berlangsung dari 18 hingga 20 September itu turut menyediakan kaunter khas Opt-In LINDUNG 24 Jam.Kemudahan tersebut membolehkan pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak meneruskan perlindungan berkenaan membuat pendaftaran semula secara terus sepanjang festival.Pengunjung juga boleh membuat semakan caruman, mendapatkan khidmat nasihat berkaitan faedah serta mendaftar skim PERKESO menerusi kaunter yang disediakan.