suria

Wanita Hamil Tujuh Bulan Terkorban

KOTA TINGGI: Seorang wanita hamil tujuh bulan maut bersama bayi yang dikandunginya dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 43, Jalan Lok Heng-Mawai, dekat sini, petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Rahmat Othman berkata dalam kejadian pada 3.40 petang itu, Nenny Nerma Abdullah, 36, bersama suaminya, Shahril Salih, 33, dalam perjalanan dari arah Lok Heng ke Bandar Penawar.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Proton Wira dari arah Bandar Penawar menghala ke Lok Heng telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan Perodua Viva yang dipandu Shahril.

"Nenny Nerma dan bayi yang dikandunginya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi malam tadi, manakala Shahril dan pemandu Proton Wira hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Kota Tinggi, Kemalangan Maut

Artikel Lain