suria

Penumpang Cetus Kekecohan Atas Pesawat MH179 Akan Didakwa

SHAH ALAM: Penumpang berbangsa Jerman yang mencetuskan kekecohan di dalam pesawat MH179 yang sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Colombo, Sri Lanka, sehingga memaksa ia untuk berpatah balik akan didakwa  atas perbuatan membahayakan para penumpang yang lain dan juga pesawat berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Supt Abdul Aziz Ali berkata, penumpang berusia 54 tahun itu telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang sementara menunggu kertas siasatan ke atasnya diputuskan oleh timbalan pendakwa raya awam.

Pihak polis mencadangkan agar tindakan diambil ke atas penumpang tersebut.

Menurut Abdul Aziz lagi, penumpang itu sebenarnya tidak mabuk sepertimana yang dilaporkan oleh kebanyakan media massa sebelum ini.

Ujian darah dan air kencing menunjukkan yang dia tidak mabuk.

Ahli perniagaan itu mengembara seorang diri dan bertolak dari KLIA menerusi pesawat MH179 pada jam 11.27 malam ke Colombo.

"Penumpang itu adalah penumpang kelas pertama dan masalah mula timbul apabila permintaannya untuk mendapatkan segelas whiskey tidak dipenuhi atas sebab-sebab peraturan penerbangan memandangkan isyarat memakai tali pinggang keselamatan masih lagi menyala.

"Bagaimanapun apabila permintaannya tidak dapat dipenuhi oleh kakitangan kabin, dia menjadi marah dan bergelut dengan salah seorang anak kapal," ujar Abdul Aziz.

Kakitangan kabin dengan bantuan para penumpang yang lain terpaksa menahan lelaki berkenaan daripada terus mengamuk dan ini mendorong juruterbang mengambil keputusan untuk berpatah balik ke KLIA.

Dalam proses tersebut, pesawat berkenaan terpaksa berlegar-legar selama beberapa jam di perairan Selat Melaka untuk menghabiskan bekalan bahan api dalam usaha untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini ketika mendarat nanti.

Pesawat berkenaan meneruskan perjalanan ke Colombo semula pada jam 10.06 pagi Ahad.

Lelaki yang mencetuskan kekecohan itu bermastautin di Bali bersama-sama isterinya, jelas Abdul Aziz lagi.

Dia kini disiasat di bawah Seksyen 70(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996 di atas kesalahan mencetuskan ancaman atau mendatangkan bahaya kepada para penumpang yang lain dan juga pesawat.

Artikel Lain