suria

PRK Pmtg Pauh: PKR Menang Kerana GST, Isu Pengurusan Wang Negara

SEHINGGA Ahad, ‘kelibat’ calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin masih boleh dilihat dan dikesan di sekitar bandar Seberang Jaya walaupun telah tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh Khamis lalu.

Kata seorang lelaki yang setia memakai kemeja-T biru berlogo BN, sekurang-kurangnya Suhaimi masih ada di sekitar Permatang Pauh dan beliau kini kembali meneruskan rutin harian seperti orang lain.

"Kita turunkan yang kecil-kecil dulu, yang besar last sekalilah. Bagi peluang Suhaimi ‘jaga’ kawasan ni sat (sekejap)," katanya sinis merujuk kepada poster besar wajah Suhaimi yang digantung di tiang konkrit di bulatan berhampiran tapak expo Seberang Jaya.

Lelaki dalam lingkungan awal 40an itu ditegur ketika sedang sibuk menurunkan bendera, poster serta bahan kempen PRK Permatang Pauh bersama beberapa rakannya.

Sehari selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumumkan menang, wakil rakyat dua kawasan di dua negeri berbeza itu 'hilang' kerana terpaksa bergegas pulang ke Kuala Lumpur.

Malah Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu terpaksa mewakilkan beberapa undangan majlis perkahwinan kepada anak kelimanya, Nurul Iman Anwar yang masih berada di Permatang Pauh.

PRK Permatang Pauh edisi 2015 berkakhir dengan siri kejadian 'ganas' , termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhadapan pelbagai serangan termasuk dari dalam pakatan pembangkang sendiri khususnya daripada PAS.

Kemenangan dengan majoriti 8,841 undi dengan peratus keluar mengundi hanya sekitar 73 peratus daripada lebih 71,000 pengundi berdaftar boleh danggap pencapaian yang baik.

Namun berdasarkan perkiraan mudahnya sama ada BN mahupun PKR, kedua-dua parti politik ini perlu menafsirkan keputusan PRK Permatang Pauh dalam bentuk yang lebih negatif.

Ini kerana keputusan Khamis lalu sebenarnya memberi tafsiran yang pelbagai apabila kedua-dua pihak seakan hanya mengekalkan status quo keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu tanpa sebarang kejutan.

PRK Permatang Pauh memperlihatkan BN berjaya mengurangkan undi popular PKR sebanyak 1.47 peratus berbanding PRU-13.

Bagaimanapun di pihak BN, parti pemerintah itu hanya mampu meningkatkan jumlah undi popular dalam PRK Permatang Pauh sebanyak 0.38 perarus.

Tafsiran kasarnya ialah pengundi Permatang Pauh sebenarnya membuat keputusan memilih PKR dan Pakatan Rakyat dan bukannya atas dasar individu bernama Dr Wan Azizah.

Dr Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi penentu kemenangan di Permatang Pauh sebaliknya parti yang di wakili mereka adalah penyebab utama rakyat di kawasan berkenaan tetap menolak BN.

Buktinya walaupun PKR dan PAS dihimpit kontroversi berhubung pelaksanaan hukum hudud, Dr Wan Azizah berkata beliau berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu sekitar empat hingga lima peratus.

Lebih membanggakan apabila peratusan sokongan pengundi Melayu itu ialah dari kawasan DUN Permatang Pasir yang menjadi kubu kuat PAS.

Walaupun pada awalnya Dr Wan Azizah berhadapan ugutan boikot oleh PAS Kawasan Permatang Pauh dan Pemuda PAS Pulau Pinang, namun atas dasar dan semangat Pakatan Rakyat, kerusi berkenaan kekal menjadi milik pembangkang.

Namun penurunan undi masyarakat Cina khususnya di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Semambu kepada PKR perlu diberi perhatian.

Peningkatan hampir sekali ganda iaitu daripada 16.8 peratus kepada 30.3 peratus undi masyarakat Cina kepada BN di PDM Sungai Semambu merupakan petanda baik kepada MCA dalam memenangi hari pengundi.

Di satu sudut lain, pakatan pembangkang seharusnya segera mengikis sentimen ‘dinasti Anwar’ di Permatang Pauh jika mereka ingin terus mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Jika sentimen 'parti anak-beranak' dan ‘kerusi suami isteri’ tidak ditangani segera, tidak mustahil BN berjaya menduduki semula kerusi Parlimen Permatang Pauh sedikit masa lagi.

Bermula daripada sekarang, PKR wajar mengetengah calon pengganti Dr Wan Azizah untuk diketengahkan pada PRU-14.

Menerusi amanat dan ucapan terima kasihnya selepas diumumkan menang, Dr Wan Azizah meletakkan isu simpati terhadap Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara sebagai antara faktor utama kemenangannya.

Mungkin tafsiran itu ada kebenarannya, tapi ia bukanlah seratus peratus pendorong kemenangan PKR di Permatang Pauh.

Pengundi Permatang Pauh memangkah Dr Wan Azizah pada kertas undi bukan kerana beliau adalah isteri Anwar namun kerana mereka marahkan BN berhubung pelbagai kontroversi khususnya pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kaedah pengurusan kewangan negara.

Walaupun hudud menjadi nadi perjuangan ahli dan penyokong PAS, namun isu GST lebih dekat dengan pengundi apabila ia berkait rapat dengan soal perbelanjaan harian.

Tidak mustahil untuk BN merampas kembali kerusi Permatang Pauh daripada PKR.

Namun formulanya perlu betul. Selain calon yang bersih, dasar kerajaan secara keseluruhannya adalah penyumbang kepada faktor kemenangan kerana isu pembangunan setempat bukan lagi menjadi perhatain pengundi.

Di Permatang Pauh sendiri, rata-rata pengundi selesa dengan pembangunan sedia ada dengan pecahan taburan penduduk dari kawasan kampung tradisional, semi-bandar dan bandar seperti Seberang Jaya.

Permatang Pauh, GST, PKR, BN, Umno

Artikel Lain