suria

Empat Lelaki Samun Pekerja Pengurup Wang Bawa RM600,000

NIBONG TEBAL: Empat lelaki bersenjatakan sebatang besi menyamun tiga pekerja pengurup wang berlesen dan melarikan beg berisi wang tunai berjumlah RM600,000 di Taman Rebana, di sini, Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) DSP Shariffudin Abdullah berkata kereta Hyundai yang dinaiki tiga pekerja sebuah kedai pengurup wang itu dihalang dua kereta Proton Waja dinaiki empat lelaki terbabit pada pukul 2.30 petang.

Pekerja pengurup wang berusia antara 25 dan 35 tahun itu terdiri daripada dua lelaki Nepal dan seorang warga tempatan. Kejadian berlaku di belakang premis pengurup wang berlesen itu.

"Empat lelaki bertopeng keluar daripada kenderaan terbabit dan mengacukan sebatang besi kepada seorang daripada pekerja berkenaan sebelum merampas beg berisi wang itu," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Beliau berkata empat lelaki terbabit turut mengambil kunci kereta pekerja berkenaan sebelum melarikan diri.

Shariffudin berkata polis menemui dua kereta yang digunakan empat lelaki terbabit di Kampung Lima Kongsi, di sini kira-kira sejam selepas kejadian dan polis menemui kunci kereta mangsa di dalam sebuah daripada kereta suspek.

Turut ditemui sepasang sarung tangan jenis kain dan batang besi yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa, katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati kedua-dua kereta Proton Waja itu masing-masing dilapor hilang di Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak bulan lepas.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA
Samun

Artikel Lain