suria

Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV Diteruskan Dengan Tabal Pusaka

Sultan Nazrin Shah berkenan mengucup Pedang Cura Si Manja Kini pada Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV di Istana Iskandariah pada Rabu. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR: Istiadat Pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah XXXV pada Khamis, diteruskan dengan istiadat Tabal Pusaka, yang dimulakan dengan mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak.

Istiadat itu berlangsung di Jeti Kuala Kangsar pagi ini dengan mengambil air dari tujuh kuala anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak, antaranya Sungai Kangsar, Sungai Chempias dan Sungai Sayung.

Air yang diambil daripada tujuh sungai itu diisi ke dalam 16 geluk dan akan dibawa ke Istana Iskandariah untuk Istiadat Bersiram Tabal yang berlangsung malam Khamis.

Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim akan berangkat untuk menjalani Istiadat Bersiram Tabal di Panca Persada yang dibina di pekarangan Istana Iskandariah.

Sebelum Istiadat Bersiram Tabal dimulakan, Istiadat Tabal Pusaka akan berlangsung di Balairung Seri istana.

Istiadat Tabal Pusaka adalah upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin Shah.

Kemudian Istiadat Santapan Nasi Berastakona akan berlangsung di Balairung Seri sebelum diakhiri dengan Majlis Santapan Malam di Dewan Santapan istana.

Sultan Nazrin Shah

Artikel Lain