suria

PRK Pmtg Pauh: Pengundian Bermula, 25 Pusat Mengundi Dibuka

BUKIT MERTAJAM: Selepas 12 hari tempoh berkempen berakhir tengah malam Rabu, hari ini seramai 71,252 orang pengundi biasa dalam Parlimen Permatang Pauh akan menentukan wakil rakyat mereka yang baharu.

Kumpulan pengundi itu berpeluang membuat pilihan masing-masing di 130 saluran mengundi membabitkan 25 pusat mengundi yang akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang pada Khamis.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin; Presiden  PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Bagaimanapun hanya Suhaimi dan Dr Wan Azizah merupakan pengundi dalam Parlimen Permatang Pauh.

Suhaimi akan membuang undi di Sekolah Menengan Kebangsaan Guar Perahu sementara Dr Wan Azizah akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Ahad lalu seramai 549 orang merangkumi 87.6 peratus daripada 627 pengundi awal selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

PRK Permatang Pauh

Artikel Lain