suria

Nur Fitri Tidak Diabaikan - Annuar Musa

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau boleh mempertimbangkan untuk memberi peluang kedua kepada pesalah pedofilia, Nur Fitri Azmeer Nordin.

Bagaimanapun anak syarikat kerajaan ini belum membuat sebarang keputusan terhadap pelajar matematik berusia 23 tahun itu apabila kembali ke Malaysia, namun penamatan tajaan ke atasnya adalah kekal.

Annuar berkata demikian di laman Facebook milikinya pada petang Rabu mengenai 'peluang kedua' kepada Nur Fitri telah disalah ertikan.

"Terdapat banyak kekeliruan pada isu peluang kedua kepadanya yang turut menuduh Mara membiarkan pedofilia," jelasnya dalam kenyataan di Facebook.

Kata beliau, interpretasi yang sangat mudah mengenai maksud memberi peluang kedua kepada Nur Fitri.

"Jika untuk pinjaman pengajian luar negara, jawapannya tidak. Ia untuk memberi sokongan  pemulihan dan kaunseling, jawapannya ya.

"Jika pinjaman untuk sambung belajar dalam negara, jawapannya ya jika dia membuat bayaran penuh terhadap pinjaman sebelum ini.

"Jika dia menyambung pengajian di dalam negara, bermakna dia mendapat tempat di universiti," katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh juga berkata, Nur Fitri patut diberi bantuan pemulihan dan diberi peluang untuk menghabiskan pengajiannya.

Isu peluang kedua ini mendapat pelbagai kritikan termasuk Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengatakan Nur Fitri tidak layak untuk mendapat tajaan Mara serta peluang kedua.

Nur Fitri ketika ditahan sedang menggunakan komputer ribanya serta duduk berdekatan patung budak lelaki bersaiz manusia sebenar.

Terdapat fail yang disembunyikan di dalam komputer ribanya yang mempamerkan gambar pornografi serta video penderaan kanak-kanak yang diklasifikasikan sebagai 'Kategori A' iaitu penderaan melampau.

Nur Fitri dilaporkan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun bersabit 13 kesalahan, termasuk memilik 30,000 imej serta video lucah kanak-kanak.

Namun menurut Mara hukuman itu telah dikurangkan kepada sembilan bulan dan dia boleh pulang ke Malaysia dalam tempoh sebulan.

pedofilia, tan Sri Annuar Musa

Artikel Lain