suria

73 Peratus Keluar Mengundi - SPR

Polis menutup pagar Sekolah Kebangsaan Mengkuang sebagai tanda tamat tempoh mengundi PRK Permatang Pauh pada pukul 5 petang.

BUKIT MERTAJAM: Kesemua 25 pusat mengundi melibatkan 130 saluran yang dibuka sejak pukul 8 pagi Khamis bagi membolehkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh ditutup tepat pukul 5 petang Khamis.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) anggaran peratus keluar mengundi ialah 73 peratus.

Anggaran peratusan itu membabitkan 71,890 orang pengundi berdaftar dalam Parlimen Permatang Pauh.

“Jumlah rasmi keluar mengundi secara keseluruhan akan diumumkan nanti setelah disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya Permatang Pauh,” kata jurucakap SPR.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, peratus keluar mengundi ialah sebanyak 88.50 peratus.

Proses pengiraan undi dibuat di semua tempat mengundi sebelum dibawa ke pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

Ahad lalu seramai 549 orang merangkumi 87.6 peratus daripada 627 pengundi awal selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.


PRK Permatang Pauh, SPR

Artikel Lain