suria

Lepat Puas, Novel Perjelas Tohmahan Laris

Lepat hadir pada sesi pelancaran bukunya Terima Kasih Si Babi Hutan, Tuhan Kini Aku Datang di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Pesta Buku Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA: Selepas 18 tahun tragedi anaknya dilarikan dan seterusnya disisihkan masyarakat kerana pelbagai tohmahan berkaitan status agamanya, akhirnya Ismail Ariffin memilih untuk meluahkan segalanya menerusi novel, Terima Kasih Si Babi Hutan, Tuhan Kini Aku Datang.

Menurut anak kelahiran Pulau Pinang yang lebih dikenali sebagai Lepat itu, naskhah yang dihasilkan dalam masa 57 hari itu begitu istimewa buat dirinya kerana suka duka kehidupan selama ini dicatatkan dalam setiap helaian buku itu.

Pelukis yang berhijrah ke Bremen, Jerman sejak 11 tahun lalu itu juga mengakui puas kerana pelbagai persoalan yang dikemukakan masyarakat berkaitan dirinya dapat dijelaskan menerusi novel itu.

"Selepas sekian lama, semua persoalan berhubung kes kehilangan Sunni Sazali (anak Lepat dengan wanita Inggeris, Aisyah Jane Brummit Abdullah), juga pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dan keluarga dijelaskan dengan cara tersendiri tanpa sebarang suntingan, tidak seperti mana berita yang disiarkan pihak media sebelum ini.

"Menerusi karya ini, saya bebas meluahkan isi hati dengan mengambil kira pertanyaan orang ramai yang mengikuti perkembangan diri saya di laman sosial Facebook," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Lepat mula dikenali berikutan kes hak penjagaan anaknya bersama Aisyah Jane yang ketika itu berusia kira-kira dua tahun.

Pada Mac 1996, Aisyah Jane melarikan Sunni ke England dan dijejak Lepat yang kemudiannya membawa anaknya pulang ke Pulau Pinang. Seterusnya keluarga isterinya mendapatkan perintah mahkamah supaya Lepat memulangkan Sunni, disusuli kedatangan Aisyah Jane ke Malaysia untuk mendapatkan hak penjagaan Sunni daripada Mahkamah Syariah Pulau Pinang. 

Pada April 1997 ditetapkan Aisyah Jane hanya boleh berjumpa anaknya seminggu sekali di Balai Polis Lebuh Pantai.

Bagaimanapun pada Julai 1997, Aisyah Jane bertindak melarikan Sunni ketika menemui anaknya di balai polis berkenaan dengan menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Berdasarkan pengalamannya Lepat menghasilkan karya yang menjadi antara naskhah laris dijual sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berakhir 3 Mei lalu.

Umumnya, karya tersebut berdasarkan kisah hidupnya sejak 1996, selain meluahkan pelbagai situasi yang ditemui sepanjang 'perjalanan' tersebut.

Cetakkan awal sebanyak 5,000 naskah habis dijual pada hari ketiga dan kini 15,000 naskhah lagi dicetak untuk memenuhi permintaan.

Kata Lepat lagi, idea untuk menghasilkan karya itu tercetus selepas mendapati dia mempunyai ramai pengikut menerusi laman media sosialnya.

"Sejak awal lagi bagaikan dapat dijangka karya ini bakal 'meletup' kerana ramai yang ingin tahu lebih lanjut mengenai perjalanan hidup saya ketika ditanahair dan sepanjang merantau ke negara asing," katanya yang mempunyai sepasang cahaya mata, Siti Aminah dan Ahmad Azali yang masing-masing berusia sembilan dan empat tahun hasil pernikahan bersama Nor Azlina Ceaser Abdullah.

Beliau berharap menerusi buku itu, persepsi masyarakat serta saudara mara terhadap dirinya dan keluarga dapat diperbetul.

"Walaupun tidak selalu pulang ke Malaysia tetapi negara ini tetap di hati saya kerana di sini saya ada ramai sahabat yang mengambil berat tentang diri saya, manakala di Jerman pula tempat saya bersama keluarga baharu untuk meneruskan kehidupan," katanya.


 

Artikel Lain