suria

Hotel, Restoran Wajib Pamer Notis Caj Perkhidmatan Mulai 1 Mei Atau Denda RM100,000

PUTRAJAYA: Hotel dan restoran diwajibkan mempamer notis caj perkhidmatan di pintu masuk premis masing-masing mulai 1 Mei atau dikenakan denda sehingga RM100,000.

Arahan itu diwartakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan AntiPencatutan (Penandaan Caj Perkhidmatan Bagi Hotel dan Restoran) 2015.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, perintah baharu itu ditandatangani oleh Menteri KPDNKK Datuk Seri Hasan Malek pada Khamis.

"Pemilik, pengurusan atau pengendali hotel atau restoran yang tidak mematuhi arahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan kesalahan," katanya pada sidang media berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sini, Jumaat.

Katanya pemilik, pengurus atau pengendali sesuatu hotel atau restoran yang mengenakan caj perkhidmatan harus menggunakan ungkapan "SEMUA HARGA ATAU CAJ TERTAKLUK KEPADA __ % CAJ PERKHIDMATAN" pada notis mereka.

"Sebaliknya jika harga barangan atau caj bagi perkhidmatan telah termasuk caj perkhidmatan, mereka haruslah menggunakan ungkapan "SEMUA HARGA ATAU CAJ TERMASUK __ % CAJ PERKHIDMATAN "," katanya.

Alias berkata, notis mengandungi mana-mana ungkapan itu perlu dipamerkan di pintu masuk hotel atau restoran atau di mana-mana tempat yang mudah dilihat di premis masing-masing.

Katanya, ungkapan tersebut mesti ditulis dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa kebangsaan dengan terjemahan dalam mana-mana bahasa lain.

"Ungkapan hendaklah ditulis dengan tangan atau dicetak dengan huruf besar dan (saiz) penghurufan tidak kurang daripada lima sentimeter," katanya.

Sementara itu, beliau berkata daripada sebanyak 152,129 premis yang diperiksa dalam Ops Catut Fasa 2 sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu, tindakan yang diambil membabitkan 423 kes.

GST, caj perkhidmatan, Alias Ahmad, KPDNKK

Artikel Lain