suria

MPSP Arah Pusat Operasi BN Dipindahkan

MPSP melekatkan notis di tapak pusat gerakan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Bandar Perda, Rabu. Notis berkenaan mengarahkan memberhentikan kerja tanah dan mengeluarkan jentera dan peralatan serta merta di kawasan berkenaan.

BUKIT MERTAJAM: Umno Permatang Pauh kecewa dengan tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak meluluskan permohonan tapak sementara Pusat Operasi Barisan Nasional (BN) di Bandar Perda bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, tindakan MPSP itu dilihat sebagai satu tindakan pilih kasih kerana sebelum ini tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan program di tapak kosong di situ.

"Notis arahan bertarikh 20 April itu diletakkan di tapak berkenaan yang terletak berhadapan bangunan MPSP dan kandungan notis itu antara lain memberitahu bahawa segala binaan sementara di tapak berkenan adalah dilarang sama sekali dan diarahkan berpindah serta merta.

"Kalau macam itu tindakan MPSP, bagaimana dengan pesta ria yang dibuka di tapak itu sebelum ini yang didapati telah mengganggu lalu lintas di kawasan berkenaan, yang diluluskan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Terdahulu, Mohd Zaidi menyerahkan geran pembinaan dewan Sekolah Kebangsaan Tanah Liat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Masriyah, di sini. Dua dewan itu membabitkan peruntukan RM300,000.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika dihubungi berkata pihaknya telah menghantar permohonan kepada MPSP sejak minggu lepas dan ketika ini hanya kerja meratakan tanah dijalankan sebelum memasang khemah di kawasan tanah lapang berkenaan.

"Kami (Umno Pulau Pinang) telah mendapat kebenaran daripada pihak tuan tanah berkenaan dan kawasan itu sebelum ini semak dan dipenuhi lalang, jadi pihak kami telah meratakannya sebelum memasang khemah di situ. Bagaimanapun, semalam satu notis ditampal di luar tapak itu yang melarang sebarang pembinaan di situ.

"Kami kecewa dengan tindakan MPSP kerana ia seperti bermotifkan politik, pusat operasi itu hanya untuk dua minggu sahaja dan bukan kami bina bangunan kekal di situ," katanya.

Musa berkata berikutan itu, pihaknya telah memindahkan pusat operasi BN ke tapak letak kereta di Perda City Mall yang terletak tidak jauh daripada lokasi awal.

Beliau berkata, pusat operasi yang mampu menampung kira-kira 3,000 orang itu akan mempunyai kemudahan seperti pusat media, bilik mesyuarat, bilik gerakan dan pentas itu akan beroperasi esok.

PRK Parlimen Permatang Pauh akan diadakan pada 7 Mei ini berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja bagi anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipohon melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, walaupun tindakan MPSP itu agak 'kejam', pihaknya tidak akan membantah sebaliknya mencari kawasan lain sebagai alternatif.

Beliau berkata, faktor kesuntukan masa menyebabkan UMNO Pulau Pinang tidak akan membuat rayuan, sebaliknya mencari kawasan lain bagi menempatkan pusat itu, di samping melicinkan urusan penamaan calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

"Walaupun kami rasa kecewa ... kami tak ingkar ... kami akan patuh  undang-undang kecil MPSP.

"Saya berpendapat mereka hanya nak sabotaj, sebab itu tanah pihak swasta, dan kami dah dapat kebenaran tuan punya tanah ... tapi tak apa lah dia (MPSP) buat keputusan macam itu dan kami akur, walaupun pada saya 'agak kejam'," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pelet, di sini, Rabu.- Bernama

Pusat Operasi BN, Bandar Perda, MPSP, Umno

Artikel Lain