suria

Enam PAS Kawasan Di Terengganu Mahu Hadi Kekal Presiden

KUALA TERENGGANU: PAS Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman yang mengadakan mesyuarat agung masing-masing pada Sabtu mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kekal sebagai Presiden parti dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden.

PAS Kuala Nerus, Kemaman dan Setiu juga mencalonkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah serta dua Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat iaitu Nasrudin Hasan al-Tantawi dan Idris Ahmad untuk jawatan Naib Presiden.

PAS Kuala Terengganu pula mencalonkan Mohd Nik Amar, Idris dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad untuk jawatan Naib Presiden, kata PAS dalam kenyataan di sini.

Setakat ini, dua lagi PAS Marang dan Dungun belum mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Sebelum ini, PAS Hulu Terengganu dan Besut sebulat suara mahu Abdul Hadi dikekalkan untuk jawatan nombor satu parti itu dan Tuan Ibrahim  dicalonkan sebagai timbalannya.

PAS akan mengadakan pemilihan pada muktamar tahunannya yang dijangka Jun ini.

Di BANTING, PAS Sepang hari ini sebulat suara mahukan Abdul Hadi kekal memegang jawatan sebagai Presiden parti itu.

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata para perwakilan mahu Abdul Hadi dikekalkan kerana kredibiliti dan pengalamannya mampu menjadi kekuatan utama PAS dalam memperjuangkan semangat parti.

"Mesyuarat agung PAS Sepang turut sebulat suara mencalonkan  Tuan Ibrahim sebagai Timbalan Presiden," katanya ketika dihubungi Bernama.

Untuk jawatan Naib Presiden, PAS Sepang memilih Idris, Iskandar dan Nik Mohd Amar, katanya.

Abdul Hadi Awang, PAS, Muktamar PAS

Artikel Lain