suria

'Sky Cab' Tak Perlu Kelulusan Kementerian Pengangkutan - Guan Eng

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak memerlukan  kelulusan Kementerian Pengangkutan bagi melaksanakan projek kereta kabel 'Penang Sky Cab' yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar di negeri ini, kata  Ketua Menteri Lim Guan Eng pada Sabtu.

Beliau berkata cadangan itu tidak mempunyai kaitan dengan kementerian berkenaan kerana 'Penang Sky Cab' bukan sistem pengangkutan awam sebaliknya sebahagian daripada produk pelancongan.

"Tentulah ini tidak ada kaitan dengan pengangkutan awam kerana ia hanya akan mengangkat 10 penumpang bagi satu kereta (kabin) dan ini perlu supaya kita boleh mengatasi masalah kesukaran mendapatkan lesen sekiranya ia satu sistem pengangkutan.

"Kalau kita lihat, sistem ini akan dianggap sebagai satu produk pelancongan yang pada masa yang sama memainkan peranan sebagai satu alternatif bagi pengangkutan awam yang 'lembut'.

"Tentulah ini boleh dianggap sebagai satu pilihan lain. Jadi, ia tidak melibatkan (Datuk Seri) Liow Tiong Lai (Menteri Pengangkutan) kerana ini bukan sistem pengangkutan awam," katanya pada sidang berita di sini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Liow sebagai berkata pihaknya belum menerima permohonan daripada kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung cadangan pembinaan kereta kabel itu.

Rabu lepas, Lim mengumumkan cadangan pembinaan 'Penang Sky Cab' yang merupakan projek kerjasama antara kerajaan negeri dan Penang Sentral, yang masih di peringkat penerokaan dan dijangka siap pada 2018.

Gat Lebuh Nordin di sini dan Penang Sentral di Butterworth akan menjadi terminal perhentian yang menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai dalam projek itu.

Lim juga berkata projek pembinaan 'Penang Sky Cab' itu tidak melibatkan proses tambakan laut dan sekiranya perlu, ia hanya terhad kepada pembinaan kawasan tempat letak kereta dan terminal perhentian.

"NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang menentang projek ini kerana berpendapat ada tambakan laut, boleh kaji semula kerana hal ini tidak berbangkit," katanya.

Penang Sky Cab, Lim Guan Eng

Artikel Lain