suria

Sembilan NGO Buat Laporan Polis Laman FB Hina Islam

PETALING JAYA: Sembilan badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhada seorang individu yang didakwa menghina institusi raja berperlembagaan dan kesucian Islam di laman Facebook.

NGO tersebut iaitu Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Gerak Kerja Ayahanda Selangor (GEGAS), IRIMM, IKHLAS, PERMAS, Majlis Bendahara, ARC, Ninja Malaysia dan Reformasi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Khamis.

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah menggesa polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Ivan Goh Lee yang menyatakan rasa tidak puas hati mengenai laungan Azan dari sebuah masjid dekat dengan rumahnya di No.9, Lorong Bintang 2, Tanjung Bungah menerusi laman Facebooknya.

"Bukan itu sahaja, dia menghina Raja Melayu dan kesucian Islam. Tindakan itu biadap dan kami menggesa polis untuk menyiasatnya," kata Abdul Rani.

Pada Isnin, Goh Lee yang mendakwa mempunyai satu lagi akaun Facebook yang sah menegaskan bahawa seseorang telah menggunakan nama dan gambarnya untuk mewujudkan sebuah akaun Facebook bagi menghina Islam.

Dalam laporan tersebut, Goh Lee mendakwa dia tiada kaitan dengan akaun dan entri di Facebook tersebut atau sepucuk surat yang kononnya ditulis kepada sebuah masjid berdekatan kediamannya.

Dia turut didakwa menggunakan kata-kata kesat di dalam entrinya.

Aktivis Perkasa dan ahli Umno membuat laporan polis mengenai perkara itu pada Selasa lalu.

Kes itu disiasat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mencetuskan ketidakharmonian.

Abdul Rani turut membuat satu  lagi laporan polis terhadap pengguna akaun Facebook, Putera Izman.com yang memuatnaik satu entri mendakwa presiden MJMM akan menumbuk sesiapa sahaja yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 'Habislah Mahathir'.

Facebook, hina Islam

Artikel Lain