suria

"Jumpa Di Rompin"

Tuan Ibrahim Tuan Man.

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan pendirian parti itu untuk tetap bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, 5 Mei ini.

"Terima kasih memberi laluan di Chempaka (PRK DUN), tapi kami tetap berentap di Rompin. Mesyuarat PAS Pusat semalam (Isnin) telah membuat keputusan untuk PAS bertanding di PRK Rompin," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.

Beliau berkata, tiada sebab untuk PAS memberi laluan mudah kepada Umno selepas mengambil kira kerajaan membebankan rakyat dengan memperkenalkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan boros dalam menguruskan kewangan negara.

"PAS tidak bersetuju dengan hujah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang cuba memujuk PAS untuk tidak bertanding di PRK Rompin atas alasan untuk menjimatkan wang, masa dan tenaga kedua-dua parti.

"Jika begitu, apakah Umno akan memberikan kemenangan percuma kepada PKR di Permatang Pauh atas alasan yang sama?," soalnya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan PRK Rompin akan menjadi medan terbaik untuk suara dan keluhan rakyat di kawasan itu diangkat media.

"Pendek kata, persaingan PAS-Umno di PRK Rompin akan menguntungkan rakyat Rompin," katanya.

Tegas beliau, tindakan Umno memberi laluan percuma kepada PAS di PRK Chempaka bukanlah menandakan parti itu sudah mengganggap PAS sebagai sahabat.

"Kita bertanding bukan untuk bermusuh tetapi menghidupkan sistem demokrasi. Umno tetap saingan PAS di dalam politik," katanya.

PRK Rompin diisytihar kosong berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 April ini sebagai tarikh penamaan calon, dan 5 Mei sebagai hari mengundi.


PAS, Umno, PRK Rompin

Artikel Lain