suria

Kes Bapa Dera Anak Dibicarakan 25 Jun

BUTTERWORTH: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 25 Jun depan untuk perbicaraan kes seorang bapa yang didakwa atas pertuduhan mendera anak perempuannya berusia tujuh tahun di Sungai Dua, Januari lepas.

Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab menetapkan tarikh perbicaraan ketika kes itu disebut di hadapannya pada Selasa.

Pada 21 Januari lepas, Mohd Shaikful Adli Mohd Afendi, 34, didakwa menganiaya dan mendedahkan kanak-kanak di bawah jagaannya itu kepada kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di Sungai Dua, Seberang Perai Utara pada pukul 7.23 malam, 15 Januari lepas.

Dia yang bekerja sebagai atendan pam minyak didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Shaikful Adli diwakili peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fairuz Rahman.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak berkenaan yang merupakan murid Tahun Satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

penderaan, anak perempuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain