suria

Muhyiddin Tingkatkan Usaha Melobi Bagi Malaysia Duduki Kerusi UNESCO

Ismail Omar

PARIS: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka berada di ibu negara Perancis pada pagi Isnin untuk menghadiri acara berkaitan usaha melobi oleh Kuala Lumpur untuk menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2015-2019.

Duta Besar Malaysia ke Perancis Tan Sri Ismail Omar berkata Muhyiddin dijadual merasmikan Minggu Budaya Malaysia 2015 di Place du Palais Royal pada Isnin, diikuti dengan Pameran Minggu Warisan Budaya di ibu pejabat UNESCO di sini pada hari berikutnya.

UNESCO ialah singkatan bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

"Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin akan menjadi hos majlis makan malam bagi delegasi tetap negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan mengunjungi ketua pengarah UNESCO Irina Bokova," kata Ismail kepada media Malaysia menjelang lawatan kerja Muhyiddin di sini pada Isnin.

Timbalan perdana menteri juga akan melawat ibu pejabat Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) untuk mendengar taklimat tentang tugas pertubuhan itu berkaitan teknologi dan inovasi serta pendidikan dan kemahiran.

Mengulas lanjut mengenai usaha melobi Malaysia untuk menduduki kerusi UNESCO, Ismail berkata sejak menyertai entiti itu pada 1958, Malaysia telah lima kali menduduki kerusi itu iaitu dari 1978 hingga 1983, 1987-1991, 1999-2003 dan2007-2011. 

Beliau berkata berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, Malaysia berjaya menyuarakan isu menyentuh kepentingan global, dan menduduki kerusi dalam Lembaga UNESCO membolehkan Kuala Lumpur memberi input dalam membuat keputusan, termasuk berkaitan hala tuju badan itu pada masa depan.

"Selain itu, ia membolehkan Malaysia yang terdiri daripada penduduk pelbagai budaya dan agama untuk mengetengahkan pelbagai aset berhubung dengan kepelbagaiannya kepada dunia," katanya.

Mengulas mengenai dua hala Malaysia-Perancis, Ismail berkata hubungan itu semakin bertambah kukuh terutamanya dalam perdagangan, pelaburan, pertahanan dan pendidikan.

"Kerjasama kita turut berkembang meliputi bidang baharu seperti pelancongan,sains dan teknologi, tenaga dan pengangkutan," katanya, dan menambah, Malaysia berhasrat untuk menjalin hubungan dengan perusahaan kecil dan sederhana Perancis.

Ismail menegaskan bahawa sektor yang boleh diberi tumpuan bagi meningkatkan kerjasama termasuk penerbangan, automotif, bioteknologi, perubatan dan penjagaan kesihatan, optik dan kimia. 

Memandangkan kira-kira enam juta daripada penduduk Perancis beragama Islam, jumlah terbesar di Eropah, terdapat potensi untuk memperluaskan perdagangan dalam aliran utama, selain produk makanan dan minuman halal.

Pada 2014, jumlah perdagangan Malaysia dengan Perancis mencecah hingga RM17.6 bilion.

Perancis merupakan rakan dagang Malaysia ke-16 terbesar, destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-12 terbesar. -BERNAMA

Artikel Lain