suria

PPKPA Nafi Kad Dikeluarkan Guna Tandatangan KPN

Kad Perjasa 1Malaysia.

KUALA LUMPUR: Pusat Perlindungan dan Kaunseling Pekerja Asing (PPKPA) menafikan pihaknya menggunakan nama dan tandatangan Ketua Polis Negara pada kad perlindungan kebajikan pekerja asing yang dikeluarkan pihaknya. 

Presiden PPKPA, Amir Ibrahim berkata pada kad itu, yang dikenali sebagai Kad Perjasa 1Malaysia, hanya tertera tanda tangan Pengerusi PKPA dan identiti pemegang kad berkenaan sahaja. 

"Saya bimbang sekiranya ada ejen atau pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab yang cuba menggunakan nama Ketua Polis Negara ketika berurusan dengan pekerja-pekerja asing serta menjanjikan pelbagai janji yang tidak mengikut standard asal PPKPA.

"Jika benar ada ejen yang melakukan kesalahan ini, kita akan ambil tindakan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini mengenai pendatang asing menyerahkan 'kad kebal' yang dikatakan mempunyai tandatangan Ketua Polis Negara bagi mengelak diri ditahan pihak berkuasa. 

Mengulas lanjut perkara itu, Amir berkata, PPKPA mempunyai 15 ejen syarikat yang membantu menguruskan hal-hal berkaitan kebajikan pekerja asing termasuk pengeluaran Kad Perjasa 1Malaysia.

Menurutnya kad Perjasa 1Malaysia tidak pernah menjamin pemegangnya 'kebal' daripada undang-undang, sebaliknya ia hanya kad bagi menunjukkan pemegangnya adalah anggota PPKPA.

Jika pemegang kad itu ditahan pihak berkuasa, beliau berkata PPKPA bertanggungjawab menguruskan kebajikan mereka mengikut lunas undang-undang sedia ada.

"Kad ini dikeluarkan kepada anggota yang berdaftar bagi mengenal pasti anggota yang menghadapi masalah termasuklah penipuan ejen atau majikan.

Bagaimanapun, kad itu bukanlah 'lesen' untuk pemegangnya bebas melakukan sebarang aktiviti.

"Kita berperanan membantu dan selesaikan masalah dihadapi pekerja asing yang berdaftar di bawah PPKPA," katanya.

Artikel Lain