suria

25 Kes Pembakaran Hutan Setiap Hari Di Sabah

KOTA KINABALU: Insiden pembakaran hutan dan belukar di Sabah menjadi kebimbangan utama terutama ketika musim kemarau.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Nordin Pauzi berkata, berdasarkan rekod, pihaknya menerima sejumlah 759 panggilan mengenai pembakaran hutan dan belukar di negeri itu pada Mac.

"Ia menunjukkan sekurang-kurangnya 25 kes setiap hari, bersama dengan satu kes setiap jam," katanya pada Jumaat.

"Perangkaan itu tidak termasuk pembakaran hartanah dan bangunan.

"Keadaan ini amat membimbangkan dan memberi kesan kepada anggota kita apabila mereka perlu berada dalam keadaan bersiap sedia setiap saat bagi memastikan setiap panggilan yang diterima dapat ditangani demi keselamatan orang ramai," kata Nordin.

Beliau berkata, dengan keupayaan dan tenaga kerja yang terhad, jabatan itu perlu bertindak bijak dan pantas bagi menangani kebakaran, memandangkan setiap kes mengambil masa sehingga dua jam secara purata, malah boleh berlanjutan selama beberapa hari untuk insiden yang lebih serius.

Beliau berkata, pembakaran hutan secara terbuka di Tuaran yang melibatkan kawasan seluas 60 hektar baru-baru ini ditangani selama empat hari.

"Bayangkan apakah yang berlaku sekiranya kes seperti itu berterusan dan bertambah buruk, mungkin juga ada kehilangan nyawa," katanya.

"Kami berharap orang ramai dapat mengelakkan daripada melakukan pembakaran secara terbuka atau membuang puntung rokok merata-rata.

"Mereka yang melihat pembakaran belukar juga boleh membantu memadamkan kebakaran sebelum ia merebak dan menjadi tidak terkawal," tambah Nordin.

Bagaimanapun katanya, jabatan itu akan terus melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Jabatan Meteorologi meramalkan musim kemarau berterusan sehingga akhir April ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain