suria

Mahkamah Akan Lupus Kes Jenayah Jalanan Dalam Masa Tiga Hari

PUTRAJAYA: Mahkamah akan melupuskan kes-kes jenayah jalanan secara pantas iaitu dalam tempoh tiga hari bagi tertuduh yang mengaku bersalah dan dua minggu bagi kes yang dibicarakan, kata Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Beliau berkata, sebelum ini prosedur pelupusan kes yang melibatkan tertuduh mengaku bersalah akan mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan.

Katanya badan kehakiman, setelah berbincang dengan Jabatan Peguam Negara akan mengeluarkan Arahan Amalan berhubung pelupusan kes itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret yang mengendalikan kes jenayah jalanan.

Beliau berkata, kes jenayah jalanan itu antaranya ialah ragut, rompak tanpa senjata, rompak berkumpulan tanpa senjata dan samun.

"Meskipun pelupusan kes-kes ini akan diuruskan dengan pantas, bagaimanapun ia tidaklah menafikan hak tertuduh untuk diwakili peguam pilihannya sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam ucapan pada majlis angkat sumpah lima Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman di sini Jumaat.

Arifin menjelaskan peguam yang dilantik hendaklah bersedia meneruskan kes sebagaimana yang telah dijadualkan dan jika peguam itu tidak dapat hadir atau tidak mampu untuk mengendalikan kes pada masa yang ditetapkan, tertuduh boleh mendapatkan khidmat peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Beliau berkata, statistik juga memperlihatkan sebanyak 80 peratus tertuduh dalam kes jenayah jalanan mengaku bersalah dan statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan sebanyak 19,299 kes jenayah itu dilaporkan tahun lepas.

Arifin berkata, jenayah itu juga melibatkan mangsa pelancong asing, oleh itu antara objektif melupuskan kes itu secara pantas adalah untuk memudahkan proses keterangan yang melibatkan pelancong asing.

"Ini kerana mereka berada di Malaysia untuk satu tempoh yang sangat terhad. Sekiranya proses pendakwaan mengambil masa yang lama, sudah pastilah akan menyukarkan mereka," katanya.

Beliau berkata, selain komited untuk memerangi jenayah jalanan, banyak usaha telah dilakukan oleh badan kehakiman kepada masyarakat seperti penerbitan risalah berkaitan prosiding mahkamah seperti bon jaminan, prosedur tahanan reman dan beberapa prosiding lain untuk memudahkan orang awam memahami prosedur mahkamah.

Artikel Lain