suria

PRK Rompin: Calon Muda Pilihan Terbaik Untuk Jamin Masa Depan Parti

Wan Kadri Wan Mahusain.

PETALING JAYA: Walaupun mempunyai ramai calon berkelayakan, Umno Bahagian Rompin mengalu-alukan pemilihan golongan muda yang hebat untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 5 Mei ini.

Setiausahanya, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain berkata, walaupun mereka berharap calon yang dipilih dari ahli jawatankuasa Umno bahagian tersebut, calon muda juga penting demi masa depan parti.

"Pemimpin tua yang berkemampuan memang ramai tapi calon muda yang boleh diketengahkan untuk masa depan parti kita alu-alukan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Bagaimanapun Wan Kadri berkata, Umno bahagian itu akan mengadakan mesyuarat Ahad ini dipengerusikan pemangku ketua bahagian, Datuk Hassan Ariffin untuk membincangkan mengenai persiapan jentera parti dan ciri-ciri calon yang difikirkan sesuai untuk disenarai pendek.

"Kita hanya boleh beri pandangan tetapi keputusan (calon) akan ditentukan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Pahang (P.091) diadakan 5 Mei, manakala penamaan calon pada 22 April ini. Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 30 April ini.

Kerusi Parlimen Rompin diisytihar kosong apabila penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis maut dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada Sabtu lalu.

Pada PRU ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Ketika ditanya mengenai keupayaan BN untuk mempertahankan kerusi tersebut, Wan Kadri berkata, beliau yakin rakyat tempatan masih setia terhadap kerajaan.

"Insya-Allah kita tak ada masalah untuk pertahankan (kemenangan). Isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tak beri banyak kesan kepada pengundi di sini kerana ia bersifat sementara," katanya.

Jelas beliau, masyarakat Rompin juga tidak mudah terpengaruh dengan teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir terhadap pentadbiran negara  kerana mereka terhutang budi dengan jasa Jamaluddin.

"Masyarakat di sini amat menghargai jasa Jamaluddin, beliau melakukan banyak pembaharuan. Perubahan yang ketara adalah penubuhan UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) di Muadzam Shah. Bandar Muadzam yang hampir mati itu akhirnya hidup semula," katanya.

PRK Rompin, Umno, Barisan Nasional

Artikel Lain