suria

Keputusan Calon Berjaya Ke Program Matrikulasi Diumum Isnin

PUTRAJAYA: Keputusan calon yang berjaya ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia sesi 2015/2016 akan diumumkan pada Isnin ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini memaklumkan hanya pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang membuat permohonan sebelum tarikh tutup pada 30 November tahun lepas boleh menyemak keputusan di laman sesawang http://www.moe.gov.my.

"Bagi calon yang berjaya dan ditawarkan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia sesi 2015/2016, calon dikehendaki mencetak sendiri perkara berikut untuk dibawa bersama semasa mendaftar di kolej," katanya.

Perkara yang perlu dicetak ialah surat tawaran, panduan pendaftaran pelajar, maklumat peribadi pelajar, akuan persetujuan ibu bapa/penjaga dan kesihatan pelajar, pengakuan bebas penyalahgunaan dadah dan borang perjanjian pelajar sebanyak dua salinan.

Kenyataan itu menyebut, bagi calon yang tidak berjaya, rayuan boleh terus dibuat melalui laman sesawang http://www.moe.gov.my mulai Isnin (13 April) hingga 26 April depan.

"Rayuan yang dibuat selepas tarikh tutup 26 April tidak akan dipertimbangkan," menurut kenyataan itu.

Talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03-88844036/4040/4100/4083 boleh dihubungi bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja.
program matrikulasi

Artikel Lain