suria

Seorang Lagi Suspek Militan Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik butik berusia 27 tahun ditahan kerana cuba meninggalkan negara ini untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS).

Suspek yang berasal dari Jerteh, Terengganu ditahan di stesen kereta api Padang Besar di Perlis oleh Bahagian Anti-Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman  pada Isnin lalu.

Sumber berkata suspek merancang untuk menggunakan kereta api ke Bangkok sebelum mengambil penerbangan ke Turki.

"Dari situ, suspek berhasrat melalui perjalanan dengan selamat menuju Syria," kata sumber kepada The Star pada Selasa.

Menurut sumber itu lagi, suspek yang juga bekerja sebagai jurugambar, memiliki butik tersebut bersama isterinya di Jerteh.

Difahamkan suspek meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun untuk menyertai kumpulan militan IS.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui twitter rasmi beliau pada Rabu.

Penangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah yang ditahan kerana ada kaitan dengan IS kepada 93 orang sejak Februari 2012.

Sementara itu, dalam tangkapan melibatkan 17 ahli militan pada Ahad, sumber berkata anggota sel tersebut mengadakan mesyuarat di sebuah apartmen di Cheras di sini sebelum serbuan dilakukan.

"Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada anggota sel mempunyai lokasi persembunyian lain di Lembah Klang. Tiada senjata api ditemui," kata sumber.

Difahamkan antara suspek yang ditahan itu terdiri daripada pemandu peribadi, ahli perniagaan, guru agama dan pemilik restoran.

IS, pemilik butik

Artikel Lain