suria

Hudud: PBS Ancam Pertimbang Kedudukan Dalam BN

Dr Maximus Ongkili.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengancam untuk mempertimbangkan semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya parti pemerintah itu menyokong pelaksanaan hudud di negara ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Dr Maximus Ongkili berkata, PBS sentiasa dengan pendiriannya bahawa hudud tidak diperlukan di Malaysia.

Beliau berkata, perundangan Islam di setiap negeri sudah mencukupi bagi melindungi kesucian agama itu.

"Perlembagaan, pada sisi lain, melindungi semua agama yang diamalkan di negara ini," katanya ketika menutup mesyuarat agung tahunan PBS Mukim Ulu Bengkoka di Kota Marudu pada Isnin.

Kenyataan Dr Ongkili itu berikutan kebimbangan yang semakin memuncak di Sabah berhubung isu hudud, yang disuarakan oleh parti-parti komponen BN termasuk Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Liberal Demokratik.

Dalam perkembangan lain, Dr Ongkili berkata, rakyat Sabah perlu terus berwaspada terhadap kumpulan ekstremis seperti militan Negara Islam (IS). 

"Mereka juga perlu menasihatkan masyarakat dan ahli keluarga mereka supaya tidak terpengaruh dengan kumpulan ini yang tidak teragak-agak untuk bertindak membunuh," kata Dr Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

"Sebagai pemimpin masyarakat, kita juga perlu berwaspada dan dilengkapi dengan maklumat supaya kita boleh memainkan peranan dalam mendidik masyarakat untuk menghindarkan daripada kumpulan itu.

"Kita juga perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita dan dalam masyarakat kita supaya kita tahu sekiranya antara kita terlibat dan menyokong aktiviti IS kerana ia amat berbahaya kepada keselamatan negara," kata Dr Ongkili.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain