suria

Bahagian Depan Bank Rosak Akibat Molotov Cocktail

Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Bahagian depan sebuah bank di Simpang Kuala, di sini mengalami kerosakan akibat dilontar "molotov cocktail" oleh seorang penunggang motosikal petang Rabu.

Menurut saksi, kejadian itu berlaku dengan pantas dan menggemparkan pelanggan bank yang sedang berurusan.

Seorang saksi, Enson Boon, 30, berkata ketika kejadian dia sedang menjalankan urusan wang perniagaan di sebuah daripada mesin juruwang automatik bank berkenaan.

"Sekitar pukul 4 petang, seorang lelaki berhenti di bahagian depan bank sebelum melontarkan bom terbabit.

"Lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikalnya. Saya cuba mengejar tetapi tidak sempat dan terus membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya di dalam satu kenyataan malam Rabu mengesahkan kejadian itu berlaku pada 4.05 petang.

Suspek, katanya, telah dikenal pasti iaitu seorang lelaki berumur lewat 30-an yang berasal dari Kuala Kedah dan sedang dikesan oleh pihak berkuasa.

Katanya, kira-kira 3 petang, suspek telah masuk ke bank untuk mengeluarkan wang sebanyak RM10,000, tetapi menjadi marah apabila diberitahu akaunnya telah ditutup.

"Beliau telah memarahi kakitangan bank dan seterusnya meninggalkan bank. Sejam kemudian suspek datang semula ke bank terlibat dan membaling molotov cocktail ke arah bank. Tindakannya dirakam oleh kamera litar tertutup," katanya. 

Katanya, tindakan itu menyebabkan kerosakan kecil di bahagian depan bank itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana dengan api.

Molotov Cocktail

Artikel Lain