suria

Nahas Helikopter: Saksi Tokok Tambah Cerita Kejadian - Polis

Abdul Samah (kiri)

SEMENYIH: Polis tidak menolak kemungkinan bahawa saksi yang melihat nahas helikopter AS365N2 Dauphin (9M-1GB) di Kampung Sungai Pening di sini bertindak memperbesarkan kejadian itu untuk meraih perhatian ramai termasuk pemberita.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, tindakan penduduk menokok tambah kejadian yang dilihat dapat dikesan apabila mereka diambil keterangan.

"Kita tidak menolak kemungkinan saksi-saksi ini menokok tambah kejadian yang dilihat untuk memperbesarkan cerita tersebut kerana mahu meyakinkan orang ramai.

"Perkara ini boleh dikesan melalui soal jawab terhadap saksi.

"Dakwaan daripada semua saksi akan diambil dan disiasat kerana mungkin juga terdapat maklumat-maklumat yang boleh membantu pihak polis serta Pasukan Penyiasat Kemalangan Udara (AAIB)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Samah turut menggesa orang ramai berhenti daripada menyebar gambar-gambar mayat mangsa yang belum dipastikan kebenarannya di laman sosial.

"Masyarakat masa kini suka untuk menjadi yang pertama menyebarkan gambar atau maklumat berkaitan mangsa walaupun belum dapat disahkan lagi kebenaran dakwaan yang dibuat.

"Kita perlu menghormati keluarga mangsa walaupun ada di antara mereka yang berada di luar negara kerana kerana hal kematian merupakan perkara sensitif.

"Orang ramai perlu bersabar menunggu keputusan siasatan dan apabila diumumkan secara sah nanti barulah pihak kami siarkan," katanya pada sidang media berhampiran lokasi nahas.

Nahas helikopter pada Sabtu lalu telah mengorbankan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.

Turut Terkorban ialah pemilik Syarikat SP Baiduri Sdn Bhd, Datuk Tan Huat Seang; juruterbang Kapten Clifford William Fournier; Aidana Baizieva (rakan juruterbang) dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran.

Operasi mencari bahan bukti di lokasi nahas yang bermula sejak Sabtu malam pula telah dihentikan pada hari ke lima (Rabu) setelah polis dan pihak penyiasat berpuas hati dengan bahan bukti yang ditemui.

Polis, Helikopter

Artikel Lain