suria

Bumbung Dewan Makan Kolej Vokasional Bukit Minyak Runtuh

Bumbung dewan makan Kolej Vokasional Bukit Minyak di Bukit Mertajam, runtuh malam Selasa.

BUKIT MERTAJAM: Sebahagian bumbung dewan makan Kolej Vokasional Bukit Minyak, di sini runtuh malam Selasa.

Ketika kejadian pada 8.30 malam itu, pelajar telah selesai menikmati makan malam dan hanya terdapat seorang lelaki iaitu pembantu dewan yang sedang berehat dan dilapor cedera ringan.

Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Rozali Mohamod berkata, siasatan berhubung punca kejadian itu kini dijalankan Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Tengah (JKR SPT) bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri.

"Setakat ini punca kejadian tidak diketahui dan pihak berkenaan sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Sementara itu, sumber berkata bumbung berkenaan runtuh dipercayai kerosakan pada kerangka bumbung dewan makan asrama itu yang dimakan anai-anai.

Beliau berkata, dewan makan berusia kira-kira 14 tahun itu digunakan 1,000 pelajar lelaki dan perempuan yang tinggal di empat asrama kolej berkenaan.

Jurucakap JKR Pulau Pinang berkata, jurutera JKR dan pihak MPSP telah meninjau keadaan bangunan dewan makan itu dan kini dalam proses menyiapkan laporan awal berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, laporan berkenaan dijangka dikeluarkan paling awal esok dan pihaknya akan mengambil tindakan susulan selepas itu.

Artikel Lain