suria

Audit: PNS Terima Teguran "Punitif"

Ali Hamsa

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 memberi satu teguran bersifat "punitif" kepada Perbadanan Nasional Bhd (PNS) kerana membuat bayaran tanpa dokumen sokongan yang lengkap.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pihak audit tidak dapat memastikan kewajaran pengesahan untuk lapan daripada 35 sampel baucar bayaran Geran Promosi Francais berjumlah RM1.42 juta oleh PNS yang tidak dilampirkan dengan invois dan perakuan oleh pegawai yang bertanggungjawab.

"Pembayaran dibuat hanya berdasarkan Surat Arahan Pembayaran dan Minit Ceraian daripada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan).

"Di samping itu pengesahan sama ada butiran perbelanjaan dilaksanakan dengan sempurna mengikut skop kerja yang diluluskan juga tidak dapat dipastikan," katanya dalam sesi bersama media, Selasa, sempena pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 di Dewan Rakyat semalam.

Teguran kepada PNS adalah antara enam teguran "punitif" yang dibuat oleh Ketua Audit Negara, melibatkan tiga kementerian, satu badan berkanun persekutuan dan satu syarikat persekutuan, kata Ali dalam ucapannya.

Jawatankuasa Siasatan dibentuk bagi menentukan sama ada tindakan tatatertib, surcaj atau pertuduhan jenayah di mahkamah wajar diambil ke atas pegawai, bagi setiap teguran Ketua Audit Negara yang bersifat "punitif" iaitu yang melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas.

Jika terdapat unsur jenayah dalam teguran yang dibuat Laporan Ketua Audit Negara, teguran tersebut akan dirujuk kepada polis atau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika melibatkan pelanggaran Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Ali berkata, jika dibandingkan teguran Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1 dengan purata teguran Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013, didapati jumlah teguran menurun daripada 418 kepada 319 teguran, iaitu sebanyak 24 peratus atau 99 teguran.

Teguran bersifat "korektif" menurun sebanyak 19 peratus atau 72 teguran iaitu daripada 385 kepada 313 teguran manakala teguran "punitif" menurun sebanyak 82 peratus atau 27 teguran iaitu daripada 33 kepada 6 teguran.-- Bernama

Artikel Lain