suria

OKT Akta Hasutan Tidak Boleh Dijamin

KUALA LUMPUR: Individu yang dituduh di bawah Akta Hasutan tidak boleh dilepaskan dengan jaminan, demikian antara kandungan baharu cadangan pindaan terhadap undang-undang kontroversi itu.

Berdasarkan seksyen baharu 5(a), diperuntukkan bahawa jika seseorang dipertuduh atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1a) dan diperakui secara bertulis oleh Pendawa Raya, maka tiada jaminan boleh diberikan kepadanya demi kepentingan awam.

“Seksyen baharu 5(a) ini selaras dengan cadangan untuk mengenakan hukuman yang lebih tinggi bagi kesalahan hasutan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan dan kerosakan harta benda,” demikian menurut kandungan akta itu.

Kerajaan pada Selasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Hasutan 1948 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membentang RUU itu berkata, bacaan kali kedua dan tiga bagi akta berkenaan akan dibuat di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini.

Selain itu RUU berkenaan turut memasukkan seksyen baharu 5(b) yang bertujuan menghalang seseorang yang dituduh di bawah Akta Hasutan namun dilepaskan dengan jaminan daripada meninggalkan Malaysia.

“Ini termasuklah memerintahkan orang yang dipertuduh itu menyerahkan dokumen perjalanannya.

“Dalam hal keadaan seseorang yang dipertuduh tidak mempunyai apa-apa dokumen perjalanan, mahkamah boleh memerintahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk tidak mengeluarkan dokumen perjalanan kepadanya,” katanya lagi.
RUU, Akta Hasutan, jaminan

Artikel Lain