suria

Nahas Helikopter: Jenazah Razkan Diterbangkan Ke Tuaran

Sabariah Jili,69, menunjukkan gambar anak bongsunya, arwah Razkan Seran yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Kampung Sungai Pening, Semenyih ketika ditemui di kediamannya di Tuaran, Ahad.

KUALA LUMPUR: Jenazah pengawal peribadi Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis sudah dikenal pasti dan diterbangkan ke kampung halamannya di Tuaran, Sabah untuk dikebumikan.

Mohd Razkan Seran terkorban bersama lima yang lain termasuk Jamaluddin dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada petang Sabtu.

Kenderaan yang membawa jenazah anggota keselamatan berusia 30 tahun itu meninggalkan pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 1 petang, Ahad.

Menurut sepupunya, Marnis Sijan, jenazah Razkan akan dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk disembahyangkan sebelum diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 2.30 petang.

"Dari Subang, jenazah akan diterbangkan ke Kota Kinabalu sebelum dipindahkan ke helikopter untuk meneruskan perjalanan ke Tuaran.

"Isteri dan dua anaknya yang berusia dua serta enam tahun berada di HKL untuk menuntut jenazah Razkan," katanya kepada pemberita di HKL.

Marnis berkata, sudah 10 tahun Razkan bertugas sebagai  pengawal peribadi.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HKL mengesahkan ahli keluarga Datuk Tan Huat Seang tiba di rumah mayat hospital itu diberi penerangan oleh ahli patologi.

Pegawai itu memberitahu, wakil Kedutaan Amerika Syarikat juga berada di lokasi sama pada pagi Ahad.


Artikel Lain