suria

Kediaman Jamaluddin & Azlin Terus Dikunjungi Orang Ramai

Rumah Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis mula dipenuhi sanak saudara dan jiran tetangga yang datang untuk membaca yassin. -Foto AZLINA ABDULLAH/THESTAR.
SERI KEMBANGAN: Suasana di kediaman Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang disenaraikan sebagai penumpang helikopter yang terhempas di Semenyih semalam, tidak putus-putus dikunjungi sanak saudara, kenalan serta jiran.

Mereka yang menziarahi keluarga Jamaluddin di kediamannya di sini sejak kira-kira 10 malam Sabtu, turut bersama-sama membacakan Surah Yasin dan mengadakan tahlil.

Antara tetamu yang hadir ialah Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Seramai 25 pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Manbaul Huffaz di Cheras diketuai oleh Ustaz Luthfi Aziz Hamzah juga menyertai bacaan Surah Yassin dan ayat-ayat suci Al-Quran. 

Enam orang terkorban dalam nahas helikopter AS365N2 Dauphin itu di sebuah kebun getah di Semenyih semalam, dan nama Jamaluddin terdapat dalam senarai penumpang helikopter itu.

Mayat-mayat itu kini berada di Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan pengecaman identiti. 

Sementara itu, suasana suram turut menyelubungi kediaman Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, yang namanya juga disenaraikan sebagai penumpang helikopter itu

Kediamannya di Saujana Impian di Kajang mula dipenuhi saudara mara serta jiran tetangga sejak Maghrib, dan mereka juga mengadakan majlis bacaan Yassin dan tahlil.

Menurut pemandu keluarganya, Faizul Mat Rasit, Azlin dan isterinya Datin Azlina Mohamad mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan. Menurutnya anak lelaki sulung dan kedua pasangan itu menuntut di United Kingdom dan di Kolej Universiti UEM di Lembah Beringin, Selangor manakala anak perempuannya belajar di tingkatan dua.

Artikel Sebelum

Artikel Lain