suria

Henti Spekulasi Berhubung Nahas Helikopter - Ahmad Maslan

Datuk Ahmad Maslan
KLUANG:  Orang ramai diminta menghentikan sebarang spekulasi berhubung nahas helikopter awam yang terhempas di Kampung Sungai Pening di Semenyih, petang Sabtu, sebagai menghormati keluarga mangsa.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata tindakan segelintir pengguna media sosial yang membuat pelbagai spekulasi termasuk mengaitkan kejadian itu dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) oleh kerajaan adalah sesuatu yang tidak wajar.

"Ada yang menyatakan (pengguna media sosial) kejadian itu adalah balasan Allah SWT kerana kita (kerajaan) melaksanakan CBP dan zalim kepada orang miskin.

"Jangan buat cerita tidak baik daripada kejadian itu. Ia langsung tidak mempunyai kaitan dengan CBP dan hanya akan mengguriskan perasaan anggota keluarga," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan CBP di restoran makanan segera KFC Cawangan Simpang Renggam, di sini, Ahad.

Nahas helikopter AS365N2 Dauphin itu mengorbankan kesemua enam orang di dalamnya iaitu Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia yang juga bekas menteri Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kpt Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, Pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Sambil menyifatkan kehilangan dua sahabat iaitu Jamaluddin dan Azlin, Ahmad turut berharap siasatan terhadap nahas terbabit dilakukan secara menyeluruh bagi mengelak sebarang keraguan sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap industri penerbangan.

"Walaupun kita tahu kejadian berlaku ketika hujan dan cuaca buruk, tetapi, kita tidak boleh ambil mudah dan buat rumusan kejadian berlaku disebabkan cuaca.

"Ia berkemungkinan sabotaj, kerosakan teknikal ataupun tidak mematuhi prosedur. Kalau ada sebab lain, maka, ia perlu dinyatakan supaya tidak timbul keraguan sehingga dikhuatiri menyebabkan industri penerbangan negara ini merosot," katanya sambil berharap seluruh anggota keluarga mangsa bersabar dengan kejadian berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain