suria

Paip Pengepam Pecah, Bekalan Air Di 13 Kawasan KL Terjejas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kawasan membabitkan 90,000 rumah di sini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah ekoran kejadian paip pengepaman utama, yang menyalur bekalan air dari Kolam Air Perkuat Kuari, pecah.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata berikutan kejadian itu, penutupan injap bekalan air perlu dilakukan segera sekali gus mengelak gangguan itu daripada berlaku dalam tempoh panjang.

"Kini, kerja-kerja membaik pulih paip pecah sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada 10 pagi esok (4 April)," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam Jumaat.

Antara kawasan yang terlibat adalah Taman Bukit Permai, Kampung Cheras Baru (Bukit A, B,C), Taman Lembah Maju, Taman Pandan Mewah, Taman Putra, Taman Mawar, Taman Muda, Taman Teratai, Taman Saga, Taman Melur, Taman Mega Jaya dan Taman Seraya.

Priscilla berkata tempoh pembaikan itu bergantung kepada keadaan semasa di tapak kerana lokasi paip pecah itu terletak di kawasan cerun yang curam, selain faktor cuaca dan keadaan tanah yang tidak stabil.
Syabas, gangguan air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain