suria

Bayi Maut, Anak Pengasuh Cedera Jatuh Pangsapuri

Gambar Hiasan.

KAJANG: Penantian sembilan tahun untuk mendapatkan zuriat berakhir dengan tragedi apabila bayi itu meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat dua pangsapuri bersama kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Kedua-duanya berlumuran darah di aras bawah Pangsapuri Kenanga Taman Sri Kantan di sini kira-kira pukul 2 petang, Khamis.

Budak perempuan itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya tetapi selamat, bagaimanapun bayi berusia tiga bulan itu maut di tempat kejadian.

Difahamkan, sebelum kejadian, pengasuh bayi itu menghantar anak lelakinya yang berusia 11 tahun ke sekolah agama berdekatan dan meminta anak perempuannya menjaga bayi berkenaan.

Sebaik pulang, pengasuh berkenaan mendapati rumah itu sunyi dan terus mencari kedua-duanya sebelum mendapati anaknya dan bayi berkenaan dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah pangsapuri itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, dipercayai mangsa terjatuh dari tingkap di bilik utama kediaman itu.

"Mungkin kanak-kanak perempuan itu mendukung bayi berkenaan sebelum membuka tingkat, sebelum kedua-duanya terjatuh," katanya.

Kanak-kanak perempuan itu mengalami patah tulang belakang dan pinggul, manakala bayi itu meninggal dunia kira-kira 12 jam selepas kejadian itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak kerana kecuaian," katanya.


Artikel Lain