suria

Lelaki Pakistan Disyaki Dalang Sindiket Palsu Dokumen Ditahan

MELAKA: Jabatan Imigresen di sini menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang disyaki dalang sindiket pemalsuan pasport dan permit kerja di sebuah rumah di Danau Kota, Gombak, Selangor, awal pagi Jumaat.

Pengarahnya Mahpof Mahmood berkata penahanan suspek tersebut susulan hasil siasatan terhadap tiga lelaki warga Pakistan yang ditahan di sekitar Melaka pada Rabu lepas dan Khamis.

"Pada Rabu (1 April) kami menahan dua orang lelaki masing-masing berusia 33 dan 45 tahun di sebuah premis di Taman Lagenda di sini dan hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka tinggal lebih masa, manakala seorang lagi  tiada dokumen pengenalan diri dan sedang menunggu pasport baharu daripada suspek dengan bayaran RM5,000.

"Kami berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 43 tahun yang merupakan pekerja kepada suspek di Tol Ayer Keroh semalam sebelum kami ke rumah suspek (di Gombak)," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mahpof berkata dalam serbuan kira-kira 2 pagi di rumah suspek, pihaknya  menjumpai 22 keping pasport, i-Kad, satu rangka pasport warganegara Myanmar serta fail berisi pelbagai dokumen termasuk kertas contoh tandatangan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kami ke premis perniagaan suspek di Plaza City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur yang menjual baju dan tudung.

"Kami merampas pasport miliknya di premis itu dan sebuah unit pemprosesan pusat (CPU) yang mengandungi maklumat berkaitan aktiviti pemalsuan pasport," kata Mahpof.-- Bernama


Artikel Lain