suria

Lelaki Tangan Kudung, Jurujual Didakwa Edar Heroin

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang kudung tangan kanannya dan seorang jurujual didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan mengedar 1,000 gram heroin minggu lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada T. Nanthakumar, 29; dan  K. Jayakumar, 32; selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharifah Izura Syed Mashor.

Nanthakumar dan Jayakumar didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah di Penang Times Square, Jalan Datuk Keramat, Daerah Timur Laut pada 11.15 malam, 24 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 38B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang penganggur didakwa mengedar 16.28 kilogram heroin minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Cheah Chin Eng, 35, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.Chin Eng didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Flat Bukit Gambir, Jalan Bukit Gambir pada 10 malam, 25 Mac.

Mahkamah menetapkan 8 Jun untuk sebutan kedua-dua kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Hashim.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain