suria

Perak Naik Taraf Loji Rawatan Air Gunung Semanggol, Air Terjun

Zainol Fadzi Paharudin.
IPOH: Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah proaktif dalam usaha mengelakkan catuan air berulang semula di kawasan Taiping dan Kamunting, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau berkata pihaknya telah mendapatkan sumber bekalan air tambahan melalui projek menaik taraf sistem bekalan air Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Semanggol dan LRA Air Terjun bagi menampung keperluan bekalan air di kawasan tersebut.

"Untuk makluman, projek menaik taraf fasa pertama LRA Gunung Semanggol ini telah siap pada November 2014 yang menghasilkan kapasiti bekalan air tambahan sebanyak 20 juta liter sehari ke kawasan Taiping dan Kamunting.

"Di samping itu, tender untuk pelaksanaan projek menaik taraf fasa kedua LRA Gunung Semanggol telah dikeluarkan. Ia dijangka siap pada penghujung 2016 dan dapat menambahkan lagi kapasiti pengeluaran air 14 juta liter sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Teh Kok Lim (DAP-Pokok Assam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Jumaat.

Zainol berkata projek menaik taraf kapasiti pengeluaran di LRA Air Terjun juga sedang dilaksanakan dan ia akan menghasilkan pengeluaran air 18 juta liter sehari.

"Projek ini melibatkan kerja-kerja pemasangan 'intake' di Sungai Wang. Saya yakin kerja pembinaan tersebut sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2015," katanya.

Artikel Lain