suria

Sukar Saman Polis Berasaskan Penahanan Menyalahi Undang-Undang - Peguam

Tiga pengarang TMI ditahan semalaman sebelum dibebaskan pada Selasa lalu.

PETALING JAYA: Sesuatu yang sukar bagi pengamal media yang ditahan mengikut Akta Hasutan untuk menyaman pihak polis kerana tangkapan tidak mematuhi undang-undang, kata Eric Paulsen.

"Ia boleh diperdebatkan jika ada menang dalam tuntutan ganti rugi selepas memfailkan saman terhadap polis kerana mereka ada kuasa untuk membuat penahanan.

"Jika mahkamah memaklumkan ia dilakukan mengikut undang-undang, oleh itu perlu diperiksa isu di sebalik kejadian itu," katanya yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty.

Beliau ditanya apakah kesalahan yang dilakukan wartawan hingga mereka ditahan untuk disoal siasat kerana didakwa menghasut.

"Jika penahanan itu sendiri tidak mengikut undang-undang, ia akan menjadi kes prima facie untuk menuntut ganti rugi," katanya lagi.

Paulsen bagaimanapun menambah, terdapat beberapa isu yang perlu diambil kira.

"Wartawan ada hak mengikut undang-undang, tetapi ia bergantung sama ada polis ada sebab yang munasabah untuk mengesyaki mereka terlibat dalam jenayah," jelaskan kepada The Star Online.

Sementara itu, peguam bela jenayah Farhan Read berkata, pengamal media seharusnya bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengelak keadaan bertambah buruk.

"Berikan sahaja apa yang mereka mahu dan kerjasama sepenuhnya, kerana anda boleh didakwa menghalang penjawat awal menjalankan tugas mengikut Kanun Keseksaan," katanya sambil menambah ia akan memberi persepsi buruk kepada suspek ketika dibicarakan.

Mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, adalah menjadi kesalahan jika menghalang penjawat awam melaksanakan tugas mereka.

Beliau berkata, waran juga tidak diperlukan untuk memeriksa atau menahan mengikut kes hasutan dan pihak polis boleh mengarahkan seseorang itu mengikut mereka ke balai polis untuk tujuan penahanan.

Tiga pengarang portal berita The Malaysia Insider (TMI) masing-masing Lionel Morais, Zulkifli Sulong dan Amin Iskandar ditahan pada Isnin, manakala penerbit The Edge, Ho Kay Tat dan Ketua Pegawai Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq ditahan pada Selasa. Kesemua mereka telah dibebaskan.

 

Artikel Lain