suria

Putus Hubungan Dengan PAS Sabah Hanya Babitkan Negeri - Azmin

Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM: Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memutuskan hubungan politik dengan PAS negeri ekoran isu hudud hanya membabitkan hubungan di peringkat negeri dan tidak pusat.

Menegaskan demikian, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan parti di peringkat negeri berhubung perkara itu sebelum keputusan muktamad dibuat di peringkat biro politik PKR.

"Pendirian PKR di pusat, kita mahu Pakatan Rakyat dipertahankan dan diperkukuhkan. 
"(Saya) mengaku kita ada masalah sedikit berhubung beberapa isu, tapi mengikut pengalaman kita, isu besar melanda Pakatan Rakyat pernah diselesaikan secara bermuafakat," katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, Selasa.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor diminta mengulas keputusan PKR dan DAP Sabah semalam yang membuat pendirian bersama itu kerana tidak setuju dengan hasrat PAS melaksana hukum hudud di negara ini.

Beliau menafikan dakwaan kononnya Pakatan Rakyat Sabah dan Sarawak berpecah ekoran isu hudud, namun menggesa pimpinan parti itu berbincang menyelesaikan segala pertikaian berdasarkan konsensus.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata beliau akan mengulas mengenai titah Sultan Selangor yang mahu status tanah rizab Melayu yang dibatalkan kerajaan negeri bagi tujuan projek pembangunan semula digantikan segera.

Ulasan akan dibuat ketika sesi penggulungan perbahasan dalam sidang DUN.

Katanya dalam sesi itu, beliau akan mengemukakan statistik terkini berhubung penggantian tanah rizab Melayu yang dilakukan kerajaan negeri.

Sultan Selangor dalam ucapan pembukaan persidangan penggal ketiga DUN Selangor ke-13 semalam bertitah, sebarang bentuk penggantian tanah baharu harus "serupa keadaannya" dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, PAS tidak akan keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak pernah memutuskan hubungan dengan sesiapa walaupun diketepikan oleh rakan komponennya di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata terdapat perbezaan antara 'dikeluarkan' dan 'keluar' daripada kerjasama dalam PR dan perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu semalam.

"Bagaimanapun kami menerima baik keputusan itu (tindakan DAP dan PKR Sabah serta DAP Sarawak mengetepikan Pas) dan berharap perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan datang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao hari ini, yang mendesak PAS membatalkan kerjasama politik dengan DAP.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak bermaruah dan tidak jujur berikutan tindakan parti itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Di KUALA TERENGGANU, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman berkata, PAS sedia menerima apa sahaja keputusan Parlimen sama ada menyokong atau menolak Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) bila ia dibentangkan.

Beliau berkata penjelasan kepada semua pihak mengenai undang-undang hudud itu telah dilakukan lebih daripada 25 tahun.

"Setelah penjelasan yang panjang ini, kita menyerahkan kepada mereka untuk menerima atau menolak.

"Kita tidak memaksa mereka bersetuju. Malah kita menghormati hak mereka untuk tidak bersetuju," kata Mohd Khairuddin.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon untuk membentangkan usul Rang Undang-undang itu di Dewan Rakyat pada persidangannya sekarang.

Artikel Lain