suria

Lokasi Tarikan Pelancong Tertakluk Kepada GST

PETALING JAYA: Lokasi tarikan pelancong di Malaysia seperti muzium, zoo dan taman tema semuanya akan tertakluk kepada Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), berkuat kuasa 1 April.

Pengarah GST Jabatan Kastam Datuk Subromaniam Tholasy berkata apa sahaja perniagaan yang memperoleh pendapatan lebih dari setengah juta setiap tahun akan dikenakan GST, termasuk destinasi seperti muzium dan zoo.

"Buat masa ini kita pasti bahawa bayaran masuk akan tertakluk kepadanya (GST).

"Bagi makanan, minuman dan cenderamata yang dijual di premis itu, ia bergantung kepada pengendali. Jika pengendalinya di bawah zoo atau muzium, maka mereka secara automatik akan tertakluk kepada GST, jika tidak ia akan bergantung kepada pendapatan perniagaan individu," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap Zoo Negara berkata pihak zoo telah membuat semua persediaan yang perlu menjelang pelaksanaan GST.

"Kita telah mencetak kadar baharu pada banner dan tiket masuk, tetapi hanya akan mengeluarkannya pada 1 April.

"Kebanyakan vendor kami adalah pengusaha luar, jadi saya percaya harganya akan bergantung kepada pendapatan peribadi mereka," kata jurucakap itu.

Pegawai Perhubungan Awam Lost World of Tambun berkata taman tema itu telah menyediakan papan tanda yang akan diletakkan di kaunter juruwang, menyatakan bahawa 'harga termasuk GST'.

"Selain itu, di mana-mana sahaja harga tiket dipaparkan, seperti kain rentang dan risalah, akan ada nota kaki menyatakan bahawa harga termasuk tambahan enam peratus cukai."

Beliau menambah mereka yang membeli tiket melalui sistem tiket dalam talian sebelum 1 April, akan dikecualikan daripada cukai tambahan selama 30 hari selepas pembelian.
GST, Datuk Subromaniam Tholasy

Artikel Lain