suria

Penganggur Bunuh Perunding Teknologi Maklumat Ke Tali Gantung

Mohd Naim ketika dibawa keluar dari mahkamah di Sepang selepas didakwa atas kesalahan membunuh pada 2012.

SHAH ALAM: Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Isnin selepas didapati bersalah membunuh seorang perunding teknologi maklumat, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd Naim Ramli, 27, selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Dalam penghakimannya, Abdul Halim berpuas hati bahawa keterangan saksi ke-13 pendakwaan (SP13), Abdul Hazim Fazalul Rahman yang merupakan rakan sejenayah tertuduh adalah benar, jelas dan telus tanpa menyembunyikan peranannya (SP13) dalam kejadian itu.

Beliau juga mendapati saksi itu tidak mereka dan menyembunyikan fakta semasa memberi keterangan.

"SP13 berjaya menyakinkan mahkamah akan insiden yang berlaku, tambahan pula keterangannya turut disokong saksi-saksi lain. Jika tiada sokongan pun keterangannya pun sudah kuat dan justeru mahkamah berpendapat SP13 ialah saksi yang boleh dipercayai.

Sementara pembelaan tertuduh pula hanya lebih kepada penafian semata-mata.

Penafian tanpa disokong bukti lain yang konkrit bukan satu pembelaan yang kukuh dan pembelaan tertuduh tidak mampu menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Halim memutuskan satu-satunya hukuman yang ditetapkan bagi kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu tertuduh digantung di leher sehingga mati.

Mohd Naim didakwa membunuh Loh Min Lee, 36, di rumah No 53, Jalan Putra Perdana 2/22, Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini, pada pukul 4.15 pagi, 7 Dis 2012.

Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat benda tumpul.

Sebanyak 22 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam Halim Ashgar Mohd Hilmi.

Artikel Lain