suria

Jabatan Kastam Tambah Lebih 800 Pegawai Baharu Pantau CBP

Datuk Subromaniam Tholasy.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menambah lebih 800 pegawai baharu dalam tempoh tiga bulan bagi memantau pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) supaya lebih telus.

Pengarah CBP Kastam Datuk Subromaniam Tholasy berkata pengambilan baharu ini merupakan baki daripada sejumlah 1,600 pengambilan baharu yang telah diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini.

"Setakat ini, Kastam telah mengambil hampir separuh daripada jumlah 1,600 yang diluluskan kerajaan dalam usaha memastikan pelaksanaan CBP ini berjalan dengan telus, tanpa sebarang penyelewengan."

"Pengambilan baharu ini dijalankan secara berperingkat dan kita berharap ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan," katanya selepas majlis pelancaran set panduan CBP oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Isnin.

Setakat ini, beliau berkata pegawai CBP berjumlah kira-kira 3,000 orang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata Kastam akan mewujudkan 10 talian tambahan 'Helpdesk GST' di pejabat kastam seluruh negara bagi meningkatkan kefahaman masyarakat dan peniaga terhadap sistem CBP.

Beliau berkata langkah berkenaan dijalankan berikutan jangkaan pertambahan pertanyaan daripada masyarakat berkenaan CBP sejurus sistem cukai ini diperkenalkan Rabu ini.

"Talian Helpdesk akan disambungkan kepada 10 talian yang akan dikendalikan oleh 10 pegawai bagi menjawab persoalan berkaitan CBP," katanya.
Talian dibuka setiap hari bermula 8.00 pagi hingga 10.30 malam.

Pada majlis itu, Najib melancarkan Buku FAQ CBP, TAP Handbook, Video Multimedia Panduan Mengemukakan Penyata dan Bayaran CBP dan Hotline Helpdesk CBP.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Siregar, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan pegawai kanan Kastam.

Buku FAQ mengandungi jawapan bagi soalan-soalan lazim berkaitan CBP untuk orang ramai.

Buku TAP Handbook dan Video Multimedia Panduan Mengemukakan Penyata dan Bayaran CBP pula ialah mengenai panduan untuk peniaga yang telah berdaftar CBP mengenai cara mengisi dan mengemukakan Borang Penyata CBP serta kaedah dalam membuat pembayaran.

Artikel Berikut

Artikel Lain