suria

Tujuh Pulau Di Sabah Bakal Jadi Kawasan Larangan

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya tujuh pulau di Sabah sedang diteliti untuk diwartakan sebagai kawasan larangan dalam usaha untuk memperkukuhkan sistem keselamatan bagi membanteras jenayah rentas sempadan.

Ia juga bertujuan untuk membendung masalah kebanjiran pendatang asing di pantai timur Sabah itu.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dollah meninjau beberapa pulau sekitar perairan Semporna iaitu Bohey Dulang, Terumbu Sibangkat, Pulau Selakan, Mantabuan, Pom-Pom, Sibuan dan Maiga serta diberi penerangan mengenai isu keselamatan.

Borhan ditemani Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun.

"Pasukan keselamatan percaya tujuh pulau itu digunakan oleh penjenayah rentas sempadan sebagai lokasi utama mereka untuk melakukan kegiatan penculikan, penyeludupan atau membawa masuk pendatang asing," kata Abdul Rashid.

Terdapat kira-kira 360 pulau di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dengan 83 daripadanya terletak di Semporna.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang juga pengerusi majlis keselamatan negeri bersetuju dengan cadangan agar beberapa pulau tertentu diwartakan sebagai kawasan larangan selepas satu kajian dijalankan.

Esszone meliputi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau.

pulau, Sabah, Semporna

Artikel Berikut

Artikel Lain