suria

Najib, Menteri Beri Penghormatan Terakhir Kepada Kuan Yew

Najib bersama Rosmah hadir memberi penghormatan terakhir buat Mendiang Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew yang telah meninggal dunia di Parlimen hari ini. Turut kelihatan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong (kanan).

SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri pada Khamis memberi penghormatan terakhir kepada Lee Kuan Yew, perdana menteri pertama Singapura yang meninggal dunia pada Isnin lepas.

Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tiba pada tengah hari, Khamis di Bangunan Parlimen, tempat mayat Kuan Yew diletakkan sebelum upacara pengebumian negara diadakan pada Ahad.

Delegasi Malaysia turut terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong.

Ketibaan Najib, Rosmah dan menteri berkenaan di Bangunan Parlimen disambut oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, yang juga anak lelaki Kuan Yew, dan isterinya Ho Ching.

Kuan Yew meninggal dunia pada Isnin pada usia 91 tahun.

Merakamkan ucapan takziah atas kematian Kuan Yew, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Najib berkata, Kuan Yew merupakan seorang tokoh ulung yang kepimpinan, wawasan, kecekalan dan ketabahan telah membantu membentuk Singapura menjadi apa yang dicapainya kini - sebuah negara maju dan kukuh ekonomi.

Beliau berkata, Kuan Yew akan terpahat dalam sejarah sebagai tokoh terkemuka yang wawasan dan kepimpinannya telah membantu dunia menjadi tempat yang lebih baik.

"Kuan Yew juga merupakan tokoh yang membantu membentuk Asia Tenggara sebagai rantau yang aman dan makmur.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau yang telah mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Singapura," katanya selepas memberikan penghormatan terakhir.

"Semua rakyat Singapura terhutang budi dengannya," katanya.

Najib dan delegasinya berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada tengah hari.

Artikel Lain