suria

DAP Cadang Bentuk Pakatan Pembangkang Baharu Di Sabah

Stephen Wong Tien Fatt.
KUALA LUMPUR: PAS akan disisihkan daripada menyertai pakatan pembangkang baharu di Sabah yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat Baharu (PRB) sebagai usaha DAP membantah parti itu daripada meneruskan niat untuk melaksanakan hukum hudud.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata parti itu akan bertemu PKR Sabah pada Isnin bagi membincangkan kemungkinan pembentukan pakatan baharu di negeri tersebut.

"Mudah-mudahan dari mesyuarat itu, kita boleh bekerjasama mengenainya," kata Ahli Parlimen Sandakan itu ketika ditemui pemberita di Parlimen pada Khamis.

Pembentukan PRB tercetus selepas DAP Sabah membekukan kerjasama dengan sekutunya PAS di negeri itu pada Isnin lalu berikutan tindakan PAS yang tetap ingin meneruskan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Keputusan tersebut dibuat sehari sebelum jawatankuasa eksekutif pusat mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi mengekalkan hubungan politik dengan parti itu.

DAP berkata tindakan PAS meluluskan rang undang-undang mengenai hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan dan notis yang dikemukakan Hadi kepada pejabat Speaker Dewan Rakyat untuk membentangkan RUU persendirian di Parlimen disifatkan sebagai satu 'pengkhianatan'.

Ketika ditanya bagaimana pembentukan pakatan baharu itu akan memberi kesan kepada hubungan politik pusat sedia ada, Wong berkata Sabah mempunyai autonomi tersendiri.

"Ia bagaimanapun akan diputuskan dalam mesyuarat CEC DAP," kata Stephen.

DAP, Pakatan Rakyat Baharu, hudud

Artikel Lain