suria

Hudud: PAS Sudah Beri Penjelasan Kepada Sekutunya

KOTA BARU: Pimpinan PAS sebelum ini telah pun memberi penjelasan secukupnya mengenai undang-undang hudud kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata dakwaan rakan sekutu mereka itu yang menuduh PAS gagal memberi kefahaman berhubung Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan, adalah tidak benar.

"Saya sendiri sudah tiga kali bersama dengan pimpinan PAS pusat dan pimpinan kerajaan negeri berjumpa pimpinan pakatan menjelaskan tentang hudud ini bermula di ibu pejabat DAP di Cheras pada 2011.

"Semua pimpinan atasan PR hadir dan (ketika itu) dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemudian di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada tahun lepas dan akhir sekali di bangunan Parlimen baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kelantan berkata pimpinan PAS lain seperti Timbalan Menteri Besar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Penolong Setiausaha PAS Datuk Takiyuddin Hassan pula hadir tidak kurang daripada empat kali bagi menjelaskan undang-undang hudud.

"Bagi saya pimpinan PR sudah jelas tentang hudud dan pendirian kita. Di perjumpaan terakhir di Parlimen baru-baru ini tidak ada pun keputusan dibuat supaya PAS menangguhkan pembentangan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. 

Beliau berkata memang diketahui DAP menolak pelaksanaan undang-undang hudud dalam setiap kali perjumpaan.

"DAP dari awal lagi menolak undang-undang ini. Kalau begitu sikapnya, kenapa harus ada perbincangan.

"Dalam perjumpaan terakhir baru-baru ini, sebaik bermula sahaja mesyuarat, DAP terus mendesak supaya mesyuarat majlis pimpinan PR membuat keputusan agar hudud digugurkan daripada agenda parti dalam gabungan PR dengan merujuk secara khusus kepada PAS. Adakah ini boleh diterima?," katanya.
 
Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak, selepas 44 anggota DUN sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu.
hudud, PAS

Artikel Lain