suria

Hudud: Majlis Raja-Raja Tak Terlibat

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja tiada kaitan dengan rang undang-undang hudud, demikian pengesahan Ketua Sekretariat Tetap Hudud Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.

Pengesahan itu sekaligus menolak laporan sebuah portal berita bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang perlu dipinda kerajaan PAS Kelantan bagi membolehkan pelaksanaan hudud.

Menurut Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, urusan berkaitan hal ehwal agama di Kelantan adalah di bawah tanggungjawab Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Enakmen ini tidak ada kena mengena dengan Majlis Raja-Raja kerana ia membincangkan mengenai urusan agama di seluruh negara.

"Urusan agama di negeri adalah di bawah Sultan dan pendirian Sultan Kelantan jelas ketika perasmian Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, baginda menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Jadi isu agama berkaitan enakmen hudud di Kelantan tidak ada kena mengena dengan Majlis Raja-Raja,” katanya kepada pemberita di banguan Parlimen di sini, Rabu.

Beliau mengulas laporan berita yang memetik sumber sebagai berkata, cadangan pindaan berhubung hudud ditolak pada mesyuarat Majlis Raja-Raja, 11 Mac lalu.

Selain itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Baru berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob juga tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan penolakan tersebut.

DUN Kelantan pada 19 Mac lalu meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf apabila dilaksanakan di negeri itu.

Kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan.

Artikel Lain