suria

Kerajaan Cadang Tukar Nama Caj Perkhidmatan Elak Kekeliruan - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan.
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menukarkan nama caj perkhidmatan yang dikenakan oleh restoran dan hotel kepada caj restoran ataupun caj hotel agar tidak mengelirukan orang ramai, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan orang ramai daripada berfikiran bahawa cukai caj perkhidmatan ini sama ada 5 peratus, 6 peratus ataupun 10 peratus itu disalurkan kepada kerajaan.

Cukai caj perkhidmatan ini tidak ada kaitan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP) yang bakal dilaksanakan sebanyak enam peratus mulai 1 April ini. 

"Cukai caj perkhidmatan merujuk kepada tips yang diberi kepada pekerja restoran dan hotel, katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu sidang dialog mengenai CBP, di sini, Selasa.

Ahmad berkata cadangan tersebut telahpun disampaikan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan kementerian itu bakal mengeluarkan satu garis panduan mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pengusaha restoran mengenakan caj perkhidmatan ini kerana mereka mahu memberikan harga yang kompetitif kepada pesaing mereka di samping mahu menarik lebih ramai pelanggan.
 
Sementara itu beliau berkata, kerajaan akan memberikan pembayaran balik khas kepada syarikat yang telah mendaftar CBP tetapi masih mempunyai barang-barang yang ada di dalam tangan yang dahulunya dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan yang lebih daripada enam peratus.

Menurutnya, syarikat yang ingin mendapatkan pembayaran balik khas perlu melakukan pengiraan stok yang dipegang pada 1 April tahun ini dan mengenal pasti amaun yang bersamaan dengan cukai jualan yang dibayar ke atas barang-barang daripada stok pengambilalihan.

Sekiranya amaun pembayaran balik khas kurang daripada RM10,000, pihak yang menuntut dikehendaki mengemukakan perakuan audit yang ditandatangani juruaudit syarikat dan telah diluluskan di bawah seksyen 8 Akta Syarikat 1965, katanya.

Ahmad Maslan, CBP

Artikel Lain